DR. NOR IMTIHAN BINTI HAJI ABDUL RAZAKSETIAUSAHA TETAP (PERANCANGAN, GUNA TANAH DAN ALAM SEKITAR)
KEMENTERIAN PEMBANGUNAN
Dayang Dr. Nor Imtihan adalah Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah, dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan, Negara Brunei Darussalam sejak pelantikan beliau pada 10 Ogos 2018.
Bidang tugas beliau merangkumi pengurusan hal-hal berkaitan pentadbiran, kewangan, sumber manusia, teknologi maklumat, ukur, perancangan bandar dan desa, penggunaan tanah, perubahan iklim, dan alam sekitar, yang sejajar dengan pencapaian visi dan misi Kementerian Pembangunan dan Wawasan Negara 2035.
Dayang Dr. Nor Imtihan memulakan kerjayanya dengan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia pada tahun 1990 sebagai seorang Jurutera di Jabatan Perkhidmatan Air, Jabatan Kerja Raya dan kemudian menjadi Penolong Pengarah Perkhidmatan Air, Jabatan Kerja Raya sebelum dinaikkan pangkat menjadi Pengarah Saliran dan Pembetungan di Jabatan Kerja Raya pada tahun 2014. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pemangku Timbalan Ketua Pengarah di Jabatan Kerja Raya dari tahun 2016 hingga 2017. Dalam tahun 2017, beliau dilantik sebagai Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Pembangunan sehinggalah ke jawatannya sekarang.
Dayang Dr. Nor Imtihan menamatkan pengajiannya pada tahun 1986 dari Politeknik Brighton (kini Universiti Brighton), United Kingdom dengan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Kejuruteraan Awam. Beliau juga memiliki Ijazah Sarjana dalam bidang Perancangan dan Pengurusan Perkhidmatan Bandar dari Universiti Loughborough, United Kingdom pada tahun 2004. Kelayakan akademik tertinggi beliau ialah Ijazah Doktor Falsafah dari Universiti Loughborough pada tahun 2013.
Sepanjang perkhidmatannya, beliau telah dikurniakan beberapa pingat kehormatan negara iaitu Pingat Indah Kerja Baik (P.I.K.B.) (2001), Darjah Setia Negara Brunei Yang Amat Bahagia Darjah Keempat (P.S.B.) (2006), Darjah Seri Paduka Mahkota Brunei Yang Amat Mulia Darjah Ketiga (S.M.B.) (2015), dan Darjah Setia Negara Yang Amat Bahagia Darjah Ketiga (S.N.B.) (2021).
Disamping itu, beliau juga merupakan Pemangku Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan Ketua Pegawai Eksekutif Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Untuk Anak-anak Yatim sejak tahun 2019 sehingga kini.